Sejarah negeri Terengganu
yang panjang mewariskan pelbagai tinggalan yang masih dapat kita lihat dan
nikmati sampai hari ini. Salah satu daripada sekian banyak khazanah budaya asli
negeri Terengganu yang masih utuh dengan nilai keindahannya ialah seni bina
bangunan. Seni bina bangunan tradisional Melayu Terengganu adalah sebahagian
daripada khazanah seni bina tradisional Melayu Nusantara dan pancaran tamadun
mereka. Ia lahir daripada keluasan dan kedalaman akal budi serta kehalusan daya
cipta para tukang mahir yang memanfaatkan bahan-bahan sekeliling mereka bagi
tujuan membangunkan tempat kediaman dan sebagainya. Ia melambangkan identity
dan kehidupan masyarakat Melayu yang bersebati hidupnya dengan alam sekeliling
mereka sejak zaman-berzaman. Disebabkan landaan modenisasi, seni bina
tradisional semakin terhapus, namun terdapat usaha segolongan pencinta seni
bina tradisional yang gigih mempertahankan tradisi, dan berusaha mengekal dan
mengembangkan warisan dalam bentuk yang sesuai. Justeru pada hari ini, kita
dapat beberapa perkembangan penting dan menarik. Pertama, usaha untuk
mengekalkan bangunan lama serta warisan tradisional dengan membaik pulih dan
mengekalkan seni bina tradisional seperti rumah, masjid, wakaf, istana dan
sebagainya. Ini dilakukan oleh pihak berkuasa seperti muzium dan pihak berkuasa
warisan atau pihak berkepentingan lainnya. Selain itu, kita juga menyaksikan
usaha mengembangkan seni bina tradisional sama ada menurut pendekatan
revivalisme, neo-vernakular ataupun pendekatan metafizikal. Sebagai satu usaha
penting mendokumentasikan seni bina tradisional Melayu, buku Seni Bina Tradisional Melayu Terengganu memperihalkan
sejarah, jenis, bentuk dan fungsi seni bina Melayu Terengganu di samping
menghuraikan upacara keagamaan yang dilaksanakan oleh para tukang di tapak
pembinaan apabila mendirikan sesebuah rumah baru agar pemilik dan penghuni
rumah mendapat kesejahteraan. Selain itu, ia juga menunjukkan perkembangan terkini
di mana bentuk-bentuk seni bina tradisional, misalnya bentuk bumbung, dipadankan
dengan seni bina moden dalam pelbagai bangunan seperti pejabat, hotel, lapangan
terbang dan sebagainya. Buku ini ini amat berguna bagi orang ramai khususnya
para pengkaji, pelajar dan peminat warisan seni bina Melayu dan merupakan
sebuah dokumentasi yang amat bernilai mengenai salah satu warisan tamadun
Melayu yang kaya-raya itu.
This product was added to our catalog on Wednesday 15 August, 2012.